P/S Boleh rujuk keseluruhan artikel di manual kajian tindakan :)
PROSES KAJIAN
TINDAKAN
Pengenalan
Kajian Tindakan melibatkan beberapa
proses dan aktiviti tertentu. Setiap proses dan aktiviti ini perlu dijalankan
secara sistematik. Ini adalah untuk memastikan kajian tersebut dapat dijalankan
dengan betul, lancar dan mencapai matlamat yang disasarkan.
Jenis-Jenis
Kajian Tindakan
Berdasarkan pendekatan
konvensional, kajian tindakan hanya dijalankan dalam konteks bilik darjah
sahaja. Pada masa kini, takrifan kajian
lebih luas dan merangkumi komuniti pendidikan ataupun komuniti yang ada hubungan
dengan pendidikan atau sekolah. Kini,
kejayaan sesuatu usaha pendidikan bukan hanya bergantung kepada peranan satu
pihak sahaja dan sememangnya bukanlah hanya peranan guru yang menjamin kejayaan
pelajar, bahkan lain-lain pihak yang berkepentingan juga memainkan peranan
dalam kejayaan pelajar. Antara pihak
berkepentingan atau aspek-aspek yang mempengaruhi kejayaan pelajar adalah guru
besar, pengetua sekolah, ibu bapa, komuniti di mana terletaknya sekolah,
kemudahan yang sedia ada di sekolah, tuisyen, dan kelayakan guru. Kejayaan
sesuatu sekolah bukan hanya disebabkan faktor guru dan pelajar semata-mata
tetapi gabungan faktor-faktor lain yang sama-sama memberi sumbangan.
Berdasarkan paradigma baru ini,
Creswell (2008) membahagikan kajian tindakan kepada dua jenis seperti yang
ditunjukkan pada Rajah 2 iaitu:
i. kajian tindakan amalan (practical action research); dan
ii. kajian tindakan penyertaan (participatory action research)
Rajah 2.1: Jenis-Jenis Kajian Tindakan (Creswell, 2008)
Dalam klasifikasi kajian tindakan
tersebut, kajian tindakan amalan melibatkan peninjauan tentang amalan guru
dalam konteks bilik darjah di mana guru itu mengajar. Ini boleh dijalankan sama ada melalui dirinya
sendiri atau pun melibatkan rakan sejawat yang mengajar mata pelajaran yang
sama (team-based inquiry) dengan
memberi fokus terhadap perkembangan guru (teacher
development) dan pembelajaran pelajar (student
learning). Guru yang menjalankan
kajian tindakan amalan ini mesti melaksanakan satu pelan tindakan bagi mencapai
matlamat beliau sebagai seorang guru penyelidik (teacher as researcher).
Sebaliknya kajian tindakan
penyertaan melibatkan kajian tentang isu-isu sosial yang menghalang
perkembangan pelajar. Untuk melihat isu seperti ini, guru perlu meninjau latar
belakang sosial pelajar dan persekitaran sekolah. Guru perlu mengadakan kolaborasi dengan
komuniti atau pihak berkepentingan bagi mencari sebab musabab
kenapa seseorang pelajar itu tidak boleh menguasai ilmu. Apabila faktor-faktor yang menghalang pelajar
itu dikenal pasti, maka guru boleh melaksanakan program untuk mengubah “cara
hidup” pelajar (life-enhancing changes)
dan dengan berbuat demikian, ia akan menjadikan guru sebagai “emancipated researcher” ataupun guru
yang membebaskan pelajarnya daripada sesuatu “belenggu” yang mencegah
perkembangan pelajar. Menurut Creswell
(2005) kajian tindakan penyertaan “…has a
social and community orientation and an emphasis on research that contributes
to emancipation or change in our society.” (h. 555). Kajian tindakan seperti ini juga digelar
dengan berbagai-bagai nama seperti community-based
inquiry (Stringer, 1999), collaborative
action research or participatory research (Kemmis & McTaggart, 2000)
atau critical action research (Mills,
2000).
Dari satu sudut yang lain, Kemmis
& Wilkinson (1998) menggariskan enam ciri utama kajian tindakan penyertaan,
iaitu:
i.
Kajian tindakan penyertaan merupakan satu proses sosial
di mana penyelidik meneroka perhubungan antara individu dengan orang lain. Ini
adalah untuk memahami bagaimana interaksi sosial “membentuk” orang
perseorangan. Dalam konteks pendidikan, ia boleh digunakan untuk meneroka
kerjasama antara guru;
ii.
Bentuk inkuiri bercorak penyertaan. Ini bermakna
individu menjalankan kajian berhubung dengan diri mereka sendiri. Dalam proses
ini, mereka meneliti bagaimana pemahaman, kemahiran, nilai dan pengetahuan menggalakkan dan mencegah amalan tindakan
mereka sendiri. Sebagai contoh, guru
boleh mengkaji diri mereka sendiri untuk memperoleh pemahaman yang lebih baik
tentang amalan mereka dan bagaimana pengetahuan ini boleh membentuk dan
mencegah kerja mereka dengan pelajar;
iii.
Kaedah kajian tindakan ini adalah bersifat praktikal
dan kolaboratif. Kajian ini praktikal sebab penyelidik meneroka aspek-aspek
seperti komunikasi, penghasilan pengetahuan, dan struktur sosial organisasi itu
dengan tujuan mengurangkan perkara yang
tidak rasional, tidak produktif, tidak adil, atau tidak mempunyai interaksi
yang memuaskan. Kajian ini juga bersifat
kolaboratif kerana ia mementingkan proses inkuiri. Sebagai contoh, guru boleh
mengadakan kolaborasi dengan guru lain bagi mengurangkan birokrasi kerana jika
ia berterusan mungkin mencegah inovasi di dalam sesebuah bilik darjah;
iv.
Kajian tindakan penyertaan bercorak emansipasi (emancipatory). Ia cuba membebaskan
seseorang daripada sesuatu kekangan yang boleh menghalang perkembangan dan
keyakinan dirinya. Sebagai contoh, kajian tindakan ini boleh digunakan untuk
mengubah prosedur birokratik guru di sekolah bagi memudahkan pembelajaran
pelajar;
v.
Tujuan kajian tindakan penyertaan adalah untuk membantu
individu membebaskan diri daripada sesuatu kekangan sepert media, bahasa,
prosedur kerja, dan apa-apa perhubungan tentang kuasa dalam persekitaran
pendidikan. Sebagai contoh, guru mungkin
dapat mengelakkan diri dari peranan yang dianggap kurang penting (subservient role) di dalam bidang
pelajaran yakni mereka tidak berasa diri mereka di beri pengupayaan (empowerment) di dalam bilik darjah;
vi.
Kajian tindakan ini adalah recursive (reflektif atau dialektikal) dan memberi fokus tentang
perubahan (change) dalam sesuatu
amalan. Ini berlaku dalam bentuk gelung (spiral)
refleksi dan tindakan. Apabila guru mereflek tentang peranan mereka di sekolah,
mereka akan cuba tindakan demi tindakan sehingga mereka berjaya dalam tindakan
mereka.
Seseorang guru yang menjalankan
kajian tindakan yang bersifat penyertaan boleh mengatasi penyebab atau asas
kewujudan sesuatu masalah (root causes of
the problem) dan bukannya terbatas kepada simptom masalah (symptoms of the problems). Dalam perkataan lain, guru dapat mengatasi
masalah tulen (real problems).
No comments:
Post a Comment